Demi Masa

.::Yang Sudi Bersama::.

sweet kekura..

Friday, August 27, 2010

NUZUL AL-QUR’AN Kitab Allah Bukan Sekadar Untuk Dibaca

 Assalamualaikum Wbt. Alhamdulillah bertemu lagi kawan2... ^_^ , kali ni ana nk share sikit mengenai Nuzul AlQuran.... Jom baca? :)


              Tanggal 17 Ramadhan merupakan satu tarikh yang selalu diperingati oleh umat Islam. Pada tarikh inilah masjid-masjid dipenuhi dengan ceramah dan media massa terutamanya televisyen tidak akan terlepas menyiarkan rancangan atau kuliah sempena memperingati Nuzul (penurunan) Al-Qur’an. Majlis Tilawah Al-Qur’an juga tidak pernah ketinggalan diadakan bersempena meraikan bulan yang penuh keberkatan ini. Ratusan ribu dibelanjakan setiap tahun semata-mata untuk memperdengarkan bacaan Al-Qur’an oleh peserta-peserta yang bersaing merebut gelaran Qari atau Qari’ah. Pendek kata, pelbagai program tak putus diadakan sempena menyambut tarikh penurunan Al-Qur’an ini. Bagi kebanyakan individu pula, pada bulan inilah mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk menghabiskan bacaan 30 juzuk Al-Qur’an sebagai satu kelaziman.
            Memang benar bahawa setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa Sallam untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân). Allah Subhanahu wa Ta’ala berfirman:

“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah(2):185].


Seperti penjelasan Imam al-Qurthubi, ayat ini menjelaskan bahawa Allah menurunkan Al-Quran untuk menjadi petunjuk dan penjelasan bagi umat manusia; menjelaskan kepada mereka yang halal dan haram, berbagai peringatan dan hukum-hakam, serta pembeza antara yang haq dan yang batil. Al-Qur’an adalah huda (petunjuk), artinya Al-Qur’anlah yang seharusnya memandu dan memimpin kehidupan umat manusia.  Al-Qur’an telah menjelaskan perbuatan apa yang wajib dilakukan, mana yang sebaiknya dilakukan, mana yang boleh dilakukan, mana yang sebaiknya ditinggalkan dan mana yang wajib ditinggalkan. Al-Qur’an juga menjelaskan apa yang boleh diambil dan apa yang tidak. Al-Qur’an adalah furqân (pembeza), artinya menjadi piawai yang menentukan mana yang haq dan mana yang batil. Oleh kerana itu, al-haq (kebenaran) adalah apa saja yang dinyatakan benar oleh Al-Qur’an dan al-bâthil (kebatilan) adalah apa saja yang dinyatakan batil oleh Al-Qur’an.                 
                             Yang dituntut dari kita hanyalah menjadikan Al-Qur’an sebagai petunjuk yang memandu dan memimpin kehidupan kita; sebagai sumber hukum yang wajib kita ambil dan kita terapkan; juga sebagai sumber penyelesaian bagi seluruh masalah kehidupan kita. Justeru, umat Islam wajib mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan. Umat Islam wajib berpegang teguh kepada Al-Qur’an sebagaimana Rasulullah dan para sahabat berpegang teguh dengannya. Sesiapa sahaja yang tidak mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah perintahkan, maka hendaklah ia takut akan diadukan oleh Rasul Sallallahu ‘alaihi wa Sallam ke hadhrat Allah Subhanahu wa Ta’ala dengan pengaduan
seperti dalam firman-Nya, “Berkatalah Rasul, “Ya Tuhanku, sesungguhnya kaumku menjadikan Al-Quran itu sesuatu yang tidak diacuhkan.” [TMQ al-Furqan (25):30]. Maksudnya, mereka menjadikan Al-Qur’an sebagai kitab yang ditinggalkan, diabaikan dan tidak dipedulikan. Imam Ibnu Katsir dalam tafsirnya telah merinci hal-hal yang termasuk ke dalam sikap tidak mengacuhkan Al-Qur’an. Di antaranya adalah
  • tidak mengimani dan membenarkannya
  • tidak mentadabbur (mengkaji) dan memahaminya
  • tidak mengamalkan dan mematuhi perintah dan larangannya
  • berpaling darinya dan lebih memilih yang lain, baik berupa syair, ucapan, nyanyian, permainan, atau jalan hidup yang diambil dari selain Al-Qur’an
  • tidak mahu menyemak dan mendengarkan Al-Qur’an.

Kembali Kepada Al-Qur’an Dengan Cara Yang Benar

Wahai kaum Muslimin! Marilah kita akhiri sikap yang tidak sepatutnya terhadap Al-Qur’an. Kuburkanlah segala kesalah-fahaman kita tentang Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an. Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk meneguhkan tekad kita untuk senantiasa memuhasabah diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya; serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya menerapkan segala isi kandungannya di dalam bentuk per individu, bermasyarakat dan bernegara. Al-Qur’an adalah Kalamullah yang mengandungi seluruh hukum-hakam bagi kehidupan manusia. Di dalamnya terdapat hukum-hakam yang mengatur seluruh interaksi samada manusia dengan Al-Khaliq, manusia dengan manusia yang lain mahupun manusia dengan dirinya sendiri. Al-Qur’an mengandungi hukum-hakam tentang aqidah dan ibadah; tentang mua’malat dan uqubat; tentang akhlaq, pakaian dan makanan.

“Apakah hukum Jahiliah yang mereka kehendaki.
Siapakah yang lebih baik hukumnya daripada Allah
bagi orang-orang yang yakin?” [TMQ al-Maidah
(5):50].

Pada hakikatnya, orang yang menolak aturan-aturan Allah dan menggantinya dengan hukum-hukum buatan Barat adalah orang yang mendustakan dan menyombongkan dirinya di hadapan ayat-ayatNya. Allah Rabbul Izzati mengkhabarkan kepada kita bahawa orang-orang semacam ini mustahil akan masuk syurga Allah, sebagaimana mustahilnya unta masuk ke lubang jarum. Firman Allah Swt :


“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayatayat
Kami dan menyombongkan diri terhadapnya,
sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit
(ampunan) dan mereka tidak pula akan masuk syurga
hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami
membalas orang-orang yang berbuat kejahatan”. [TMQ
al-A‘raf (7):40].



Al Quran adalah cahaya, 
mengambilnya adalah petunjuk, 
meninggalkannya adalah sesat,
Menerapkan hukum di dalam Al-Qur’an adalah wajib, 
meninggalkannya adalah berdosa. Sedarlah wahai saudaraku, Nabi Sallallahu ‘alaihi wa Sallam berpesan kepada kita, 
siapa saja yang meletakkan Al-Quran sebagai pemimpin di depannya nescaya ia akan memimpinnya ke syurga, sebaliknya, siapa saja yang meletakkan Al-Quran di belakangnya, nescaya ia menjerumuskannya ke dalam
neraka.
 
Na‘ûdzu billâh min dzâlik!

Wahai kaum Muslimin! Daulah Khilafah telah dihancurkan pada 3 Mac 1924. Sejak saat itu, hukum Allah tidak lagi diterapkan di muka bumi, sebaliknya diganti dengan hukum kufur penjajah. Sejak saat itulah manusia telah tidak berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, sebaliknya menggantikannya dengan hukum-hakam buatan tangan manusia. Al-Qur’an bukan setakat diambil acuh tak acuh, malah ditinggalkan terus dan lebih buruk, dipertikaikan kesesuaian hukumnya. Hukum Al-Qur’an telah lenyap seiring dengan lenyapnya Daulah Khilafah. Tanpa ada sebuah negara, mustahil semua ayat Al-Qur’an dapat diterapkan. Benarlah kata Imam Al-Ghazali, 

“Agama adalah asas dan kekuasaan (negara) adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan rapuh; sesuatu yang tidak ada penjaganya, akan hilang.” 


Mereka malah
mengambil hukum kufur yang dibuat oleh penjajah dan
meninggalkan hukum Allah. Dengan sebab inilah Allah
menurunkan kehinaanNya ke atas mereka.

“.....apakah kamu beriman kepada sebahagian Al Kitab
dan ingkar terhadap sebahagian yang lain? tiadalah
balasan bagi orang yang berbuat demikian
daripadamu, melainkan kehinaan dalam kehidupan
dunia, dan pada hari kiamat mereka dikembalikan
kepada azab yang sangat berat.....” [TMQ Al-Baqarah
(2):85].

“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara;
jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka
kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu
Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].

Rujukan ------->mykhilafah.com

No comments:

Post a Comment